Isnin, 10 Mac 2008

Tahniah, Selamat Bertugas.

Segala Puji Bagi Allah yang bagiNya Kerajaan di Langit dan di Bumi. Dialah yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah yang berhak menarik kerajaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.

Untuk Warga Selangor, Perak, Kedah, Penang dan Kelantan.
Sejuta Tahniah dan Terima Kasih kerana memberi kepercayaan kepada BA untuk memerintah, lebih terutama kepada kaum Cina dan India.

Kepada kepimpinan semua peringkat PKR, DAP dan PAS. Tugas anda baru sahaja bermula. Laksanalah dengan Adil dan Saksama amanah yang diberikan Allah. Jangan berlagak sombong. Ingatlah, amanah bukan untuk dibanggakan. Ia adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari kiamat. Jangan berlaku zalim sama sekali.

Kuasa bererti amanah. Bukan lesen untuk melakukan kezaliman dan membalas dendam. Rakyat di bawah naungan anda sedang menantikan tindakan anda. Jangan lupa untuk tunaikan janji. Perbanyakkan tasbih dan beristighfar kepada Ilahi. Tadaburlah surah al nasr.

Selamat Menjalankan Tugas.

Rabu, 5 Mac 2008

Khas Buat Kekanda Warga Kelantan.

Menemui sahabatku, warga kelantan yang sentiasa di dalam ingatan.

Aku di Terengganu kini dalam keadaan sihat sejahtera walaupun sedikit kegusaran. Apa khabar kekanda sekarang? Adinda mendoakan kekanda sentiasa dianugerahkan dengan kesihatan yang baik di bawah payung pemerintahan Tok Guru tercinta.

Genap 7 tahun adinda kembali di Terengganu setelah sekian lama merantau. Banyak perubahan yang adinda lihat terutama 3 tahun terakhir ini berbanding pada mula-mula adinda balik ke Terengganu dahulu. Suasana di sini tidak lagi seaman, selamat dan makmur.

Tidur adinda sering terganggu dengan ingatan pagar yang belum dimangga, pintu grill juga belum dimangga, stering kereta belum dikunci. Bunyi yang membingitkan telinga juga sering menganggu kami sekeluarga tidur lena. Sering juga adinda keluar malam untuk lihat sendiri suasana sebenar. Kekadang ada juga kekanda menghubungi pihak berkuasa membuat aduan tapi malang polis sibut dengan ceramah pembangkang.

Kekanda warga Kelantan yang dikasihi,
Walaupun adinda tinggal hanya 4km dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan terpaksa membayar cukai RM180 setahun, kawasan perumahan adinda masih tiada lampu limpah dan longkang. Jalan ke rumah adinda pun tidak diturap dengan tar. Apabila adinda mengadu dan memohon, orang pejabat kata mesti dapat kelulusan JKKK. Adinda pernah buat aduan kepada Yang Berhormat yang bertaraf Timbalan Menteri, tapi hanya berjanji.

Kekanda beruntung tinggal di Kelantan di bawah Tok Guru yang amanah. Barang di sana murah dan berpatutan, walaupun negeri tidak kaya tapi rakyat aman, makmur dan rasa selamat. Ustaz kata itulah adalah barakah dari Tuhan, manakala rasa takut, terganggu dan tidak selamat adalah sejenis daripada bala yang Tuhan timpakan.

Kekanda warga Kelantan yang disayangi,
8hb ini adalah "Hari Besar" menentukan kerajaan. Adinda dengan rendah diri mengharapkan kekanda mengekalkan kerajaan Tok Guru yang sedia ada. Jangan jadi seperti warga adinda di Terengganu.

Hari ini, ramai warga adinda rasa menyesal. Kekanda bayangkan, wang yang boleh mentadbir satu negeri dihabiskan di sebuah pulau yang tiada penghuni. Masjid yang dahulunya makmur kini sunyi sepi. Remaja yang dahulunya sibuk dengan aktiviti sekolah dan berfaedah kini riuh rendah dengan konsert dan berpeleseran.

Kekanda warga Kelantan yang dirahmati,
Sekiranya warga kekanda menolak Tok Guru, adinda pasti kekanda akan menerima nasib yang sama. Adinda berkeyakinan kekanda yang bijaksana tidak akan membuat pilihan ini.

Cukuplah sampai di sini coretan adinda, semoga kita sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah Illahi. Sekian.

Sabtu, 1 Mac 2008

Sistem Pendidikan Malaysia Gagal: Datuk Siva.

Setelah Profesor Ekonomi daripada UM yang buta baru-baru ini dengan tegas menyanggah pandangan Dato' Seri Najib yang menyatakan bahawa Malaysia akan muflis jika menurunkan harga minyak seperti yang dihasratkan oleh Barisan Alternatif jika diberi mandat memerintah, kini Datuk Siva Subramaniam pula dengan penuh berkeyakinan menyatakan bahawa sistem Pendidikan Malaysia gagal.

Datuk Siva berkata demikian di dalam wawancara hari ini di dalam program Analisis Pilihanraya yang disiarkan secara langsung di Astro Awani. Program yang disiarkan dua kali sehari itu menampilkan tokoh-tokoh akademik dan pengalisis tanah air.

Tanpa menafikan pembangunan fizikal Malaysia yang pesat dan banyak perubahan yang telah berlaku sejak daripada 50 tahun yang lalu, Datuk Siva yang juga Pesuruhjaya Suhakam menyatakan pembangunan manusia tidak berjalan seiring, sistem pendidikan Malaysia hanya mementingkan akademik semata-mata. Justeru itu ia gagal membentuk jatidiri dan keperibadian pelajar.

Kenyataan ini pernah diutarakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa BN hanya mengambil Islam hanya dari sudut hadhari sahaja. Lantaran itu statistik jenayah dan salah laku negara yang sentiasa meningkat membenarkan kenyataan ini. Begitu juga statistik salah laku remaja dan jenayah juvana. Semua ini membuktikan kegagalan
Barisan Nasional.

Datuk Siva juga ada menyebut kepincangan perlantikan ahli Majlis PBT, dan juga kegagalan peranan Yang Berhormat yang sukar ditemui untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini menyebabkan rakyat terpaksa mencari individu atau institusi yang lain. Beliau mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Damansara, masalah rakyat tidak diselesaikan dengan sebaiknya. Wakil Rakyat hanya turun dan boleh ditemui pada musim pilihanraya.

Wakil Rakyat sebegini tidak boleh diterima lagi tambah Datuk Siva. Inilah bahananya kalau kita memilih orang yang bertanding untuk cari makan bukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ke Arah Negara Berkebajikan. Selamatkan Malaysia. Tolak BN.

Khamis, 28 Februari 2008

BN menghormati Undang-undang?

Media sering mewar-warkan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sering melanggar undang-undang dan membuat sesuka hati. Persoalannya adakah BN menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal di dalam parlimen?

Sejak daripada penamaan calon, 24hb februari yang lalu hingga hari ini kita boleh lihat dengan jelas sejauh mana BN menghormati dan patuh kepada undang-undang. Pada hari pencalonan sahaja sebagai contoh kita boleh lihat dengan jelas betapa BN ini langsung tidak menghormati undang-undang. Jika SPR yang tiada maruah tidak bersekongkol dengan mereka, banyak calon-calon BN sudah terbatal pencalonannya. Negeri Terengganu sudah pun jatuh ke tangan PAS kerana majoriti calon-calon BN tidak menyertakan Akuan Berkanun dengan duti setem yang dimatikan. Inilah keangkuhan BN. Di parlimen Kuala Kangsar, Dato' Seri Rafidah dengan sombongnya tidak menandatangani borang penamaan calon namun ia masih sah dan bantahan ditolak. Patuhkan BN kepada undang-undang? Agaknya kalau borang kosong sekalipun yang dihantar ia tetap akan diterima oleh SPR. Begitulah taatnya SPR kepada bosnya, BN. Bukannya kerajaan Malaysia.

Sejak daripada penamaan calon hingga kini berapa patahkah ucapan parti PAS dan pembangkang yang lain disiarkan? Khususnya dalam media eletronik. Ini jauh berbeza dengan BN, kempen-kempennya disiar dalam hampir semua siaran, kerajaan dan swasta. Mana maruah BN? Adakah ini bertepatan dengan undang-undang?

Pergilah ke pejabat-pejabat kerajaan, nescaya kita boleh melihat buku-buku kempen BN dengan jelas berada di atas kaunter tanpa malu dan segan. Pegawai-pegawai kerajaan dikerah hadir ke majlis anjuran BN atas nama jabatan masing-masing. Adakah ini pun mengikut undang-undang?

Paling jelas ialah undang-undang tidak termaktub kepada UMNO dan koncu-koncunya. Ia hanya untuk PAS dan parti-parti pembangkang yang lain. Inilah Malaysiaku. Andainya Barisan Alternatif tidak menghormati undang-undang negara kita tidak akan aman. Walau bagaimanapun setiap kesabaran itu ada hadnya.

Selamatkan Malaysia. Tolak BN.

Saringan Calon-calon BN Bocor dan Lemah atau disabotaj?

Kita sekali lagi dikejutkan oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar bahawa calon BN bagi N10 Bukit Pinang, Pulau Pinang mempunyai kes pecah amanah.

Menurut Haji Mahfuz, Che Omar telah dilucutkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad sejak 25 Dis 2007 kerana kes penyalahgunaan kuasa semasa pembelian tanah koperasi melebihi RM6 juta. Berikutan itu Pengurusan koperasi itu kemudian membuat aduan polis mengenai beberapa kes penyelewengan Che Omar pada Disember lepas. Walau bagaimanapun dijangka SPR tidak akan membuat apa-apa tindakan kerana calon berkenaan adalah mewakili BN.

Presiden BN ketika ditanya berkata BN tidak dapat berbuat apa-apa kerana nama beliau telah pun disahkan sebagai calon walaupun pihak pembangkang membuat dakwaan mengenai kes Che Omar. Apa yang menghairankan ialah menurut Bapak BN partinya telah menyaring semua bakal calonnya sebelum mereka dipilih bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata semua pihak termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diminta untuk merujuk kepada Jabatan Insolvensi, Badan Pencegah Rasuah dan polis secara spesifik bagi memastikan seseorang calon itu layak untuk bertanding.

Ini membuktikan saringan calon-calon BN ini lemah dan ramai juga yang mendakwa bahwa sebahagian calon BN ini lebih bersifat bidang terjun kerana kepentingan individu-individu tertentu. Ini menyebabkan saringan yang didakwa itu sebenarnya tidak berlaku.

Sebelum ini seorang calon BN ditolak oleh SPR pencalonannya di DUN Kijang Kelantan kerana didapati bertaraf muflis. Ini menyebabkan calon dari PAS menang percuma.

Hal ini cukup berbeza dengan calon-calon yang dikemukakan oleh PAS yang mempunyai wibawa dan keperibadian yang tinggi. Ini kerana syarat-syarat yang dikenakan agak ketat termasuklah seorang yang taat kepada Allah dan tidak melakukan dosa besar.