Sabtu, 10 Oktober 2009

PRK N31: Pengundi Muda Menjadi Penentu

Esok, pengundi Dun Bagan Pinang seramai 13,664 orang akan membuat penentuan siapa yang akan mewakili mereka dalam Dewan Undangan Negeri. Pengundi muda yang berusia 40 tahun ke bawah mewakili kira-kira 50 peratus daripada jumlah pengundi di Bagan Pinang, dikatakan menjadi taruhan akhir BN dan PAS bagi menentukan sama ada "status quo" kawasan itu kekal atau PAS membuat kejutan di kubu BN ini.

Dalam kelompok pengundi muda ini pula, mereka yang berada dalam kumpulan umur 30 hingga 39 tahun merupakan kumpulan yang paling ramai, yang mewakili kira-kira 27 peratus.

Kedua-dua parti yang bertanding nampaknya optimis bahawa pengundi muda memihak kepada mereka namun bagi pemerhati politik sentimen golongan itu masih belum jelas.

"Saya kira pengundi muda "play safe". Nampaknya BN dan PAS perlu kerja keras untuk mendapatkan undi mereka," kata pemerhati politik Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff kepada Bernama.

Keputusan pilihan raya kecil Ahad ini juga akan dapat merungkai persoalan sejauhmanakan benarnya pendapat bahawa pengundi muda merupakan kumpulan yang "anti-establishment" dan idealistik atau bersikap rasional dan realistik.

Difahamkan bahawa 55 peratus sokongan pengundi muda memihak kepada PAS pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008 di Bagan Pinang namun calon BN Azman Mohammad Noor (BN) tetap berjaya mempertahankan kerusi DUN itu setelah menewaskan Ramli Ismail (PAS) dengan majoriti 2,333 undi.

Kali ini, BN mempertaruhkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang pernah digantung keahlian UMNO kerana kesalahan rasuah politik, manakala PAS diwakili pesuruhjaya negerinya, Zulkefly Mohamad Omar, dari Lenggeng, Negeri Sembilan.

Tiada ulasan: