Sabtu, 2 Mei 2009

Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS wajar dipegang Ulama:DPPNT

Alhamdulillah Dewan Ulama Pusat mula bersuara, ketuanya Ustaz Mohamad Daud Iraqi menyarankan jawatan timbalan Presiden dipegang oleh seseorang yang berstatus Ulama selain jawatan Presiden. Kedua-dua jawatan tertinggi ini perlu dipegang Ulama kerana PAS adalah parti yang bertunjangkan Islam dan memerlukan kedua-duanya adalah tokoh yang benar-benar faqih tentang Islam.

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu yang berlangsung hari ini di Kuala Terengganu menyaksikan penegasan Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Azman Syafawi mendesak agar kedua-dua jawatan ini dipegang oleh tokoh Ulama PAS. Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat menyatakan di dalam ucapannya, akhir-akhir ini wujud suatu usaha yang menggugat keyakinan terhadap ulama.

Ucapan beliau turut disokong ramai pihak termasuk Dato Haji Mustapa Ali, Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu di dalam ucapan perasmiannya.