Jumaat, 12 Disember 2008

Parlimen Kuala Terengganu Milik PAS?

Peluang PAS untuk menang prk parlimen K. Terengganu 17 Januari ini masih 50-50, walaupun kalau mengikut jumlah undi PAS setiap DUN di Parlimen K Trg memihak kepada PAS.

Namun apa yang berlaku, Mat Sabu tewas kepada Datuk Razali (Allahyarham) dengan majoriti 628.

Persoalannya kenapa ini berlaku?
Adakah PAS lemah di K. Trg? Keputusan di DUN menolak kenyataan ini.
Adakah Calon yang PAS kemukakan lemah dan tidak dikenali? Hampir mustahil Saudara Mat Sabu tidak dikenali. Beliau terkenal sebagai pemimpin yang berwibawa, lantang dan berani.

Kenapa pengundi memilih PAS di DUN tetapi memilih UMNO untuk parlimen? Menurut kajian yang telah dibuat, pengundi di Terengganu tidak sama dengan Kelantan. Selain kewibawaan calon yang dilihat, mereka juga mahu calon mestilah warga tempatan yang mudah ditemui. Inilah suara majoriti.

PAS pernah mempertaruhkan Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Timbalan Presiden di Parlimen Besut dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Di saat PAS menang cemerlang, namun tetap tewas di parlimen Besut.

Walaupun Menang dan Kalah di tangan Allah, percaturan strategi perlu diambil kira. Semua pihak wajib hormati keputusan yang bakal ditentukan 21 Disember ini. Hingga tarikh tersebut tidak perlulah membuat sebarang spekulasi dengan pandangan peribadi. Tunjukkan contoh adab syura dan pemesyuaratan Islam.

Rapatkan Saff, Menuju Kemenangan.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Dimana Adab Sopan UMNO? Selamatkan Malaysia

-Pimpinan UMNO tidak sabar hendak menghalau Presidennya sendiri.
-Layakkah Najib menjadi PM
-Isu altantuya RPK diISA? mengancam siapa?
-Datuk Ahmad tidak perlu dikenakan tindakan undang2 negara kerana sudahpun dikenakan tindakan parti. Ahli UMNO kebal undang2 negara?

tunggu ulasannya...

Isnin, 6 Oktober 2008

Rapatkan Saff: Untuk Ahli PAS sahaja

Di saat Umno dan parti-parti komponennya sibuk dengan urusan kurap dalamannya yang sudah berkudis, negara dilanda dengan mini tsunami ekonomi, PAS tidak terkecuali terkena tempiasnya. Sejak pecahnya maklumat pertemuan beberapa pimpinan PAS dengan beberapa pimpinan UMNO selepas pilihanraya yang lalu hingga kini, beberapa pimpinan PAS terus diserang hendap terutama pimpinan daripada Terengganu.

Walaupun isu ini reda selepas muktamar yang lalu, namun hangat kembali setelah beberapa individu yang sama pimpinan PAS mengambil sikap hambar terhadap isu 16 september. Umumnya penyokong PAS dan pakatan rakyat malah rakyat keseluruhan begitu tertunggu tarikh 16 september yang lalu, tiba-tiba terkejut dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga bekas Naib Presiden PAS yang menyatakan dengan terus terang bahawa beliau yakin tidak akan sebarang perubahan pada tarikh tersebut. Akibatnya Dato' Mustafa Ali diserang bertubi-tubi. Apapun hujjah beliau adalah soal yang kelima atau keenam pokoknya rakyat telah teruja janji perubahan 16 september. Sesiapapun yang tidak mengambil sikap positif malah neutral sekalipun tentang isu ini bermakna melawan arus dan menyokong UMNO.

Inilah fenomena baru pemikiran sebahagian ahli PAS. Saya teringat sewaktu hadir di konvesyen Tarbiyah PAS di Taman Melewar 4 - 5 - 6 yang lalu, Allahyarham YB Suhaimi Ahmad dengan lantang menyebut dan memperingatkan peserta matlamat perjuangan parti. Beliau menyelar sikap ahli dan pimpinan yang hanya memikirkan untuk menang pilihanraya sedangkan menang dan kalah itu milik Allah. Allah pasti memberi kemenangan jika sudah menepai syarat-syaratnya. Pemikiran sebegini menyebabkan usaha tarbiyah semakin luntur. Usrah dan tamrin bukan lagi keutamaan, tidak mendapat sambutan dan hampir dilupakan.

Sejak akhir 90-an berlaku penghijrahan secara besar golongan elit dan profesional ke dalam PAS. Mereka diberi kedudukan tinggi dengan segera. Walaupun tidak dinafikan kewujudan golongan profesional dalam PAS bukanlah perkara baru. Kini pengaruh mereka sudah bertapak dalam PAS. Tidak pelik kalau mendengar cadangan, pemikiran dan pendekatan yang janggal. PAS mahu dilihat lebih neutral, bertolak ansur dan terbuka tentang dasarnya.

Memetik kata-kata Ustaz Abu Bakar Chik, bekas Ketua Pemuda PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS dalam Ijtima Aidil Fitri, 4hb Syawal yang lalu Pimpinan PAS Terengganu kini adalah pelopor dan mewarnai kepimpinan Ulama PAS Malaysia sejak pertengahan 80-an hingga kini. Namun akhir-akhir ini kata beliau muncul idea baru yang ingin menukar Kepimpinan Ulama kepada Kepimpinan Islam di atas anggapan kepimpinan tertinggi semestinya Ulama. Beliau menjelaskan Terengganu sebagai contoh, Pesuruhjayanya adalah Dato' Mustafa Ali adalah bukan ulama tetapi tidak salah dan mendapat sokongan padu. Menurutnya Kepimpinan Ulama bermakna ulama menjadi intipati kepada kepimpinan.

Allah menegaskan dalam Al Quran yang bermaksud : "Berpeganglah kamu dengan Tali Allah kesemuanya dan janganlah berpecah belah." 103: Ali Imran. Siapapun kita, dimanapun posisi yang kita pegang, perkara pokok yang tiada ruang untuk tolak ansur ialah matlamat perjuangan PAS iaitu Islam. Inilah yang sering ditegaskan oleh Dato' Seri Tuan Guru Presiden. Mudah-mudahan kita memahami perkara ini.


Sabtu, 4 Oktober 2008

SELAMAT HARI RAYA

Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada peminat-peminat blog kerana lama tidak update blog ni. Sepanjang ramadhan hingga kini terlampau banyak isu-isu di dalam negara kita khususnya, hingga tidak sempat nak menulis. Menjadi pembaca memang mudah dan seronok. Alhamdulillah blog-blog baru tumbuh macam cendawan. Insya Allah, saya akan kembali menulis.

Berlalu Ramadhan Syawal diganti,
Taqwa dibawa sebagai Bekalan,
Tangan dihulur maaf dipohoni,
Barulah bererti puasa sebulan.

Semakin jauh perjalanan
Semakin dekat kematian
Semakin bertambah bebanan
Semakin kurang keupayaan
hanya keimanan dan keyakinan
mampu mengayuh bahtera kehidupan
penuh ketenangan menempuh ujian
Tuluskan dengan Allah, Tuluskan sesama Insan.

Rabu, 20 Ogos 2008

Contohi Kematangan PAS Dalam Berpolitik

Muktamar PAS sudah berakhir, semua perwakilan dan pemerhati yang datang dari segenap negeri berkumpul di Negeri Perak kini pulang dengan wajah yang ceria dan penuh keazaman. Selama hampir 2 bulan ahli-ahli PAS cuba digugatkan oleh media-media yang berniat jahat untuk menimbulkan ketidakpercayaan kepada kepimpinan. Tidak kurang juga ada segelintir ahli dan kepimpinan PAS yang melantah serta mengambil ruang yang salah untuk meluahkan perasaan.

Dengan adanya muktamar segala kekusutan telah dirungkai satu persatu, semuanya merasa puas dan faham kini sikap sebenar kepimpinan tertinggi PAS. Keteguhan dan ketegasan Tuan Guru Presiden wajar dicontohi oleh semua pimpinan dan ahli PAS.

Kalau kita merenung sejenak sirah nabawi, bagaimana pernah Nabi kita ditawarkan menjadi Ketua Tertinggi di Mekah, perempuan yang paling cantik dan menjadi orang paling kaya tetapi ditolak kerana terpaksa melupakan Islam. Inilah juga matlamat PAS. Kerajaan, demokrasi dan jawatan hanya alat untuk melaksanakan Islam, bukan matlamat.

PKR dan DAP tidak perlu risau dengan kesetiaan PAS. Namun seperti mana yang telah ditegaskan tidak mustahil PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika prinsipnya tidak dihormati dan segala pandangannya dikesampingkan.

PAS boleh duduk semeja dengan sesiapa sahaja asalkan prinsip ini dihormati. Malah ahli PAS juga cukup setia dengan keputusan kepimpinan. Pilihanraya yang lepas membuktikan segalanya. Ahli PAS memberi sokongan kepada PKR dan DAP kerana inilah keputusan kepimpinan. Namun hari ini sebahagian ahli PAS merasa kecewa kerana layanan yang diberikan kepada PAS.

Walaupun begitu ahli dan kepimpinan PAS termasuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz tetap turun sama membantu PKR di dalam pilihanraya di Permatang Pauh. Inilah contoh setiakawan dan kematangan politik yang ditunjukkan oleh PAS.

PAS Untuk Semua

Selasa, 12 Ogos 2008

JIKA ISLAM TIDAK DOMINAN ( Siri 2 )

Tulisan : Us. Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
( Saya menyokong penuh tulisan/idea ini. Ia wajar diberi perhatian serius)

Saya mendapat maklum balas dalam bentuk pro dan kontra dalam isu yang di kemukakan . Sikap saya terhadap khilaf ini adalah positif selama ia berlangsung dibawah pengaruh ilmu ( nas ) dan adab ikhtilaf . Semoga Allah swt. memberi petunjuk dan kekuatan kepada hambanya yang ikhlas berjuang.

Ada beberapa perkara yang perlu saya buat penegasan semula terhadap artikel saya sebelum ini
yang bertajuk : “ Cadangan : Jika Islam Tidak Dominan PAS Wajib Menarik Diri ” bagi menjernihkan beberapa kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan .

1. Sebahagian meminta agar PAS terlebih dahulu memberi peluang kepada PAKATAN untuk membentuk kerajaan . Apa yang penting ialah menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN.

Perenggan ketiga kenyataan saya dalam artikel sebelum ini telah menjelaskan maksud saya untuk menjatuhkan Kerajaan zalim dan kejam UMNO dan BN. Persoalan ini tidak berbangkit malah saya sangat bersetuju kerajaan UMNO dan BN ditumbangkan .

Persoalan yang saya timbulkan ialah bentuk kerajaan yang bakal ditubuhkan ( setelah kita berjaya meruntuhkan UMNO dan BN ) . Kita tidak boleh lari daripada membincangkannya. Pimpinan parti – parti PAKATAN mungkin membincangkannya dalam mesyuarat mereka . Cuma saya mengambil pendekatan melontarkannya kepada umum untuk difikir dan dibincang bersama secara ilmiah dan positif tanpa sebarang prejudis .

Saya juga bermaksud agar ia menjadi satu cambahan pemikiran dikalangan kita masyarakat awam yang mendokong PAKATAN amnya dan khasnya buat anggota Gerakan Islam .

Apakah bentuk Kerajaan PAKATAN yang bakal ditubuh ? persoalan ini timbul sebagai satu persiapan dan persediaan malah ia penting kepada kita sebagai seorang pejuang Islam yang mahu melihat Islam tegak di atas tanahair kita . Justeru kita tidak boleh mendokong sebuah kerajaan yang meminggirkan Islam atau tidak memberi tempat kepada kuasa Islam dalam politik atau juga pentadbiran Negara.

Perlu dijelaskan disini saya tidak bermaksud menolak PKR dan DAP dalam konteks mereka sebagai madu'u. Tetapi saya mencadang agar PAS menarik diri dari pembentukkan kerajaan persekutuan JIKA Islam tidak dominan .

Dengan maksud PAS tidak boleh menjadi anggota kpd sebuah kerajaan persekutuan yang Islamnya tidak dominan. Sebagai mana kita menolak UMNO kerana mrk mempersiakan Islam , begitulah tahalluf yang PAS buat dgn Pakatan atau siapa shj tidak boleh sampai mempersiakan Islam .

PAS menolak UMNO krn mrk merosakkan Islam dan bangsa sendiri so kita tidak boleh mengulang situasi yang sama dgn tahalluf yang kita buat .

JIKA Pakatan boleh bentuk kerajaan yang Islamnya terpelihara , maka tiada halangan utk PAS terus bersama menjadi anggotanya. Saya menyebut JIKA kuasa politik berada di tangan bukan Islam maka masa depan ummat Islam di negara ini akan terus suram sebagaimana suramnya mrk dizaman UMNO atau mungkin lebih kelam .

( saya bukan bercakap soal majoriti rakyat dlm negara . Saya bercakap soal majoriti ahli parlimen yg ada kuasa mengundi dlm parlimen utk menentu dasar dan keputusan . di tangan siapakah ia ? itu persoalannya )

Saudara bayangkan , JIKA anggota kabinet dan suara majoriti adalah bukan Islam dan mereka boleh menentu dasar dan kuasa ,bagaimana keadaan ummat Islam dan kepentingan agama Islam dalam negara ini ?

Sebelum ini kita bertahalluf ( kerjasama ) dan kita tidak kesal dgn tahalluf tersebut , tetapi perlu diingat bhw Islam meletak syarat dalam tahalluf agar Islam tidak tergugat. Jika Islam dilihat tergugat maka tahalluf tersebut mesti dikaji semula .

Kita tidak boleh mengizinkan Islam dicabar . Hari ini pun saya lihat sedikit demi sedikit usaha mencabar Islam berkembang. Kita tidak boleh membenarkan keadaan ini berlarutan.Sekali lagi saya tegaskan JIKA kerajaan pakatan yang bakal ditubuh , majoriti MP nya ( yang akan menentu suara/keputusan dalam parlimen ) ialah bukan Islam , PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak boleh menjadi anggotanya.

PAS mesti berada di luar dari Kerajaan itu . bukan sebagai anggota kerajaan yg nantinya terpaksa akur dgn suara ramai / majoriti dlm kerajaan tersebut sekalipun keputusan tersebut bercanggah dgn Islam. .Saya bukan bercakap soal dakwah di dalam artikel tersebut. Dakwah tetap menjadi asas perjuangan PAS dan dakwah adalah tugas rasmi dan rutin PAS. Tiada siapa yang boleh pertikai kerja dakwah yang telah dilakukan oleh PAS. So PAS akan terus berdakwah biarpun diluar pakatan. Yang saya timbulkan ialah soal keanggotaan kpd sebuah kerajaan yang kuasa majoritinya bukan ditangan Islam .

Jumaat, 25 Julai 2008

Hampir Suku Juta Selengara Perdana Idris Jusoh

Sewaktu negara dalam sibuk menghadapi krisis ekonomi dan melancarkan dasar berjimat cermat, kita dikejutkan dengan berita Kerajaan Negeri Terengganu membeli 14 unit mercedes. Menteri Besar Terengganu mempertahankan keputusan ini dengan membawa alasan-alasan dan bukti-bukti untuk menolak penggunaan kereta perdana v6 executive.

Namun apa yang menarik dan mengejutkan semua pihak ialah kos penyelenggaraan perdana v6 Menteri Besar yang lalu, DS Idris Jusoh merupakan kos yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu sebanyak RM235,123.08. Kos ini hampir menyamai 2 unit kereta perdana v6 yang baru. Ia patut dimasukkan dalam Malaysia Book of Records kerana mencatatkan rekod kos yang sangat tinggi pernah dicatatkan. Sekiranya kos ini adalah benar, proton perdana v6 adalah kereta yang tidak boleh digunakan dan tidak munasabah.

Timbalan Pengarah 1 BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed ketika ditanya berkata, "BPR akan siasat... ada sesuatu yang tidak kena". Rakyat Terengganu perlu mendesak siasatan segera dilakukan oleh BPR, seperti yang diakui sendiri oleh BPR kos yang dilaporkan adalah diluar kotak kemunasabahan.

Syabas DatukAhmad Said kerana mendedahkan perkara ini. Semoga PAS Terengganu menyambut fail yang diserahkan ini.

Kearah Negara Berkebajikan.


*** suk terengganu mengumumkan kesilapan pengiraan kos penyelenggaraan perdana v6 yang digunakan ds idris jusuh. jumlah sebenarnya RM132,357.76 sahaja.

Isnin, 21 Julai 2008

Muzakarah: Bila PAS mempunyai 10 orang Presiden.

Muzakarah dgn UMNO, antara tajuk yang hangat diperkatakan sekarang. Bermacam komentar yang kita dengar. Sebahagian besarnya kurang setuju dan ada pula yang menentang keras hingga memberi kata dua dan amaran untuk keluar parti.

Kalau anda sebagai ahli PAS atau penyokong PAS, kenapa anda memilih untuk bersama PAS. Adakah kerana individu-individu tertentu, atau kerana PAS hari ini mempunyai masa depan yang cerah, atau kerana PAS memperjuangkan rakyat, atau... atau... atau... Sudah tentu kerana matlamat yang diperjuangkannya. PAS mempunyai halatuju yang jelas. Apakah PAS terdesak benar untuk bergabung dengan BN? atau Pemimpin PAS hari ini sudah lupa matlamat Parti yang termaktub dalam perlembagaan. Jangan kita terjerat dengan mainan BN.

Ramai yang membuat ulasan tanpa mempunyai maklumat dan hanya dengar khabar angin. Tidakkah ini tindakan yang tidak cerdik walaupun mengaku ahli seumur hidup. Manakala golongan yang memberi amaran untuk keluar dari parti... adalah golongan yang paling bodoh. Cubalah dekati dengan kepimpinan tertinggi dan slow talk dengan mereka.

PAS berbeza dengan parti-parti yang lain. Bukan mudah membuat sesuatu keputusan besar seperti ini. Bukan bila 2-3 individu pemimpin suka begitu ia terus jadi... PAS ada Majlis Syura Ulama yang terdiri daripada tokoh-tokoh berkaliber yang membuat keputusan bukan berdasarkan emosi. Apatah lagi keputusan seperti ini perlu dibawa ke Muktamar.

Jangan jadi seperti tulang besi sehingga sanggup menabur fitnah dan mencerca kepimpinan. Ini bukan gaya orang PAS. Tidak salah kalau tidak setuju tetapi PAS adalah Parti Islam yang menpunyai cara dan adab-adab yang diajar oleh Islam. TAKWA adalah tunggak. Berhati-hati mempunyai komentar bukan berdasarkan emosi. Dapatkan maklumat terlebih dahulu. Pastikan ia adalah maklumat primer bukan khabar angin.

Cukuplah PAS mempunyai seorang sahaja Presiden.

Rabu, 16 Julai 2008

Tangkapan DS Anwar: Bertamadun dan wajar?

Semalam 15hb Julai 2008, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen memberi tempoh 24 jam iaitu sehingga pukul 2 petang esok kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir memberi keterangan atau berdepan tindakan penahanan.

Namun apa yang berlaku hari ini jam 12.55ptg DS Anwar ditahan oleh sekumpulan anggota polis yang bertopeng sebelum masa berakhir. Beliau dilayan secara kasar, walaupun DS Anwar melalui peguamnya N Sankara Nair memberi jaminan bahawa beliau akan menepati masa yang diberikan pihak polis.

Tan Sri Musa Hassan ketika ditanya hari ini menyatakan, ini adalah amalan biasa dan dibuat mengikut proses undang-undang. Syed Hamid Albar Menteri Dalam Negeri berkata beliau berpuas hati kerana polis telah mengambil tindakan mengikut prosedur. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid ketika ditanya hari ini di lobi parlimen tentang DS Anwar dikasari mengatakan, saya RASA tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kerajaan BN hari ini semakin tidak profesional dan rakus. Tindakan yang dibuat ini jauh dari sifat manusia yang bertamadun dan berfikiran waras. Malah ia lebih kepada ugutan dan menakutkan DS Anwar dan khalayak agar tunduk dan sujud kepada kehendak mereka. Apa yang dibuat ini lebih kepada tindak balas akibat laporan yang dibuat oleh DS Anwar dan suatu usaha untuk menggagalkan akan wujudnya kerajaan baru tidak lama lagi.


Mudah-mudahan rakyat akan lupa apa yang disebut DS Anwar dalam debat malam tadi. Rakyat akan lupa kadar inflasi mendadak naik selepas sebulan harga minyak dinaikkan. Rakyat akan lupa bebanan yang ditanggung dengan kenaikan harga barang barang keperluan. Rakyat akan lupa korupsi kerajaan BN hari ini.

Polis DIRAJA Malaysia tidak perlu menjadi barua upahan BN.

Kearah Negara yang Aman, Selamat dan Sejahtera dibawah Pakatan Rakyat.



Khamis, 3 Julai 2008

Isu Liwat: Cubaan Mengalihkan Isu Sebenar

Kerajaan Korup BN sebenarnya tengah pening kepala untuk menghadapi rakyat. Serangan dari semua penjuru menyebabkan mereka tidak cukup tangan. Isu Minyak tiada penyelesaian. Isu Raja Petra tidak terjawab. Masalah dalaman meruncing, SAPP dan macam-macam lagi. Kemarahan rakyat semakin membuak.

Jalan keluar terbaik ialah cari isu sensasi yang boleh jatuhkan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya yang menjadi mangsa ialah DS Anwar Ibrahim. Nampaknya sehari dua ni cubaan terkutuk ini berjaya walaupun majoriti masyarakat tidak yakin dengan cerita dongengan ini. Mana mungkin DSAI membuat kerja bodoh ini di saat namanya dijulang tinggi. Apatah lagi kerja terkutuk ini dilakukan di dalam negara semasa kesibukan pilihanraya umum. Inilah yang diperkatakan rakyat di serata tempat.

Kesan dari tuduhan bodoh ini, Pakatan Rakyat menjadi lebih kukuh. Ceramah PR mendapat sambutan yang luar biasa. Blog dan media cetak alternatif semakin laris. Orang ramai akan lebih mempersoalkan kenapa ada double stardard dalam mendakwaan, apa tindakan terhadap "Si Rosmah" yang didakwa oleh Raja Petra, atau apakah pula tindakan kepada Raja Petra yang membuat tuduhan?

Mampukah PDRM membuat siasatan secara adil dan saksama? Pihak keselamatan dan Sistem Kehakiman negara sekali lagi diuji. Apatah lagi kali ini DSAI turut mendakwa tangan ghaib pemimpin kedua-dua sektor ini mempunyai "masalah".

Rakyat sedang memerhati....

Isnin, 9 Jun 2008

Minyak : Rakyat Menanggung Dosa Kerajaan BN.

"Kita sepatutnya terlebih dahulu meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.


Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.


Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa." petikan tulisan Sahibul Samahah Mufti Perlis.


Kenaikan harga minyak yang diumumkan baru-baru ini mendatangkan keluhan semua rakyat. "Terkejut, Kecewa dan Marah", inilah rata luahan orang ramai ketika ditanya. TERKEJUT kerana ramai menjangkakan ia akan dinaikkan 2 bulan akan datang dan mereka juga terkejut kerana dinaikkan sebegitu tinggi secara mendadak.


KECEWA kerana BN berjanji sebelum pilihanraya baru-baru ini, minyak tidak akan dinaikkan pada tahun ini. Kerajaan BN tidak menyediakan sebarang plan alternatif kepada rakyat untuk keluar daripada masalah ini. Kerajaan BN hanya memikirkan untuk selamatkan diri mereka sahaja.

MARAH kerana BN sering berbohong dan lidah bercabang. Marah kerana BN menggunakan cara paling mudah untuk selamatkan diri. Jika harga beras naik, kurangkan makan nasi (nak makan apa? pasir ke?) jika gula naik, kurangkan manis dalam minuman dan masakan; jika tepung naik, kurangkan makan roti; jika harga ayam naik, kurangkan makan ayam; jika tarif air dan letrik naik; jimatkan guna air dan letrik; jika petrol naik, kurang pengunaan kereta, naik kenderaan awam (kereta simpan di rumah buat perhiasan). Inilah idea yang paling bodoh diutarakan oleh menteri-menteri BN termasuklah Timbalan dan Perdana Menteri.

Rakyat hari ini bukan lagi semudah dahulu untuk diperkotak-katikkan. Rakyat tidak melihat satu plan alternatif dari kerajaan yang boleh membantu rakyat. Rebet Tunai hanya sebagai gula-gula murahan kerajaan BN yang kelemasan. Apa salahnya kalau disediakan satu alternatif terlebih dahulu seperti prasarana gas NGV di seluruh negara. Semua kenderaan awam diwajibkan menggunakannya mulai tahun hadapan. Kos yang lebih murah, semua barang boleh diturun harga. Kenderaan persendirian diberi subsidi yang munasabah. Lepas tu barulah kerajaan naikkan harga minyak. Ini hanyalah satu contoh, namun kerajaan BN tidak memikirkan ini semua kerana mereka tiada hasrat untuk bantu bebanan rakyat.

Inilah padahnya memilih BN untuk memerintah Malaysia.
BN Barang Naik.

sekian.

Sabtu, 29 Mac 2008

Daulat Tuanku



















Cukuplah gambar membayangkan segalanya.
video
Seluruh Rakyat Terengganu turun menyokong DYMM Tuanku.

Isnin, 17 Mac 2008

Idris Jusoh Cabar Istana

UMNO Terengganu yang dikepalai Dato' Seri Idris Jusoh lebih suka mengambil sikap berkonfrantasi daripada cuba berbaik dengan Istana. Sikap bongkak ini menyebabkan beliau tidak disenangi oleh kebanyakkan masyarakat negeri Terengganu dan juga Istana. Diwar-warkan 22 daripada 23 orang wakil rakyat menyokong Idris Jusoh. Siapa yang hendak mengundang nahas kalau tahu masa depan mereka terancam. Sudah lah Deris. Munasabahlah pertemuan dengan Majlis Penasihat Pemangku Negeri dibatalkan.

Nasihat Raja Nazrin: "Keharmonian hubungan Raja dengan kerajaan adalah salah satu prasyarat untuk menjamin kestabilan sesebuah kerajaan dan kemakmuran sesebuah negeri."

"Adat istiadat dan kesopanan istana pada setiap masa hendaklah dipertahankan, dihormati dan tidak harus dicemari," titah Pemangku Raja Perak itu.

Ini memberi maksud jika Deris ini terus dilantik untuk penggal kedua, Terengganu tidak akan stabil dan tunggang terbalik.

Rakyat masih ingat bagaimana si deris ini buta protokal apabila Pak Lah dijemput merasmi Sebuah Pulau tetapi Sultan dijemput pula merasmikan suraunya.

Rakyat tidak lupa bagaimana si deris ini juga memberi hanya satu sahaja Logo Majlis Bandaraya yang tidak boleh tidak, mesti ditandatangani Sultan.

Rakyat Tidak Lupa si deris derhaka ini merampas ratusan tanah rakyat yang pernah diberikan oleh Kerajaan PAS dahulu.

Rakyat Tidak Lupa si deris derhaka ini juga membazir jutaan wang rakyat semata-mata untuk glamour tapi tidak membangunkan walaupun sebuah pun rumah mampu milik sepanjang penjajahannya.

Tak Pernah Sebelum Ini... ada memanda menteri penderhaka.
Tak Pernah Sebelum Ini... ada manusia seperti Rasol yang menjadi Pak Turut membuta tuli.
Tak Pernah Sebelum Ini...

Mencipta Tamadun, Memahat Sejarah
.

Sabtu, 15 Mac 2008

UMNO Tidak Bersedia Ditegur

"Mukhriz mempunyai kepentingan peribadi dan mahu mengambil kesempatan," dakwa Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim. "Sehubungan dengan itu beliau wajar dipecat," tambah Datuk Azhar.

"Mukhriz biadap," pemuda UMNO Selangor.

"Mukhriz itu tidak bertanggungjawab," Hishammuddin.

Semua ini hanya gara-gara sepucuk surat Datuk Mukhriz Mahathir kepada Presiden UMNO meminta beliau meletakkan jawatan serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Salinan surat itu yang disifatkan Mukhriz sebagai surat peribadi turut dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menjadi budaya UMNO orang bawahan tidak dibenar sama sekali untuk mengkritik dan menegur kepimpinan walaupun dengan surat yang bertanggungjawab apatah lagi dengan surat layang ataupun sidang media dan demontrasi. Peribadi Presiden, tindakan dan keputusannya adalah yang terbaik untuk parti dan suci dari sebarang kelemahan.

Orang yang menegur mesti bersedia menerima sebarang tindakan tatatertib termasuk dipecat. Orang seperti Mukhriz tidak wajar berada di dalam UMNO. Saya yakin PAS bersedia mengalu-alukan Datuk Mukhriz.

Selamatkan Malaysia.

BN Tolak Pilihan Raja Perlis : Shahidan

Begitulah bunyi sebenar di sebalik tajuk berita "BN tolak iktiraf Md Isa" di dalam Utusan Malaysia hari ini. Shahidan mengambil sikap untuk berkonfrantasi dengan Istana. Di mana orang Melayu Perlis? Apakah mereka sanggup membiarkan seorang budak bernama Shahidan menghina Raja Melayu dan memporak perandakan negeri Indera kayangan itu? Ataupun itu hanya teriakan histeria bayi yang tercabut puting dari mulutnya.

''Kalau orang lain daripada saya dan sekiranya dia pergi juga (angkat sumpah), maka dia dianggap pembangkang,'' itulah kenyatan sombong dan bongkak pemimpin UMNO Perlis. Hakikatnya itulah sikap pemimpin UMNO yang sudah tidak relevan di mana-mana.

Namun Shahidan juga dilaporkan berkata : ''Tapi kalau Raja Perlis tidak mahu melantik sebab ada undang-undang yang mengatakan Tuanku boleh melantik (calon) yang boleh memberi keyakinan kepada Dewan Undangan Negeri, itu hak Tuanku."

Itulah kebodohan Shahidan dan kebodohan UMNO.

Daulat Tuanku.

Jumaat, 14 Mac 2008

Minta rakyat dihukum: UMNO sudah tidak relevan

Pulau Pinang , Jumaat (14 Mac 2008) - Lebih kurang 1500 orang menyokong parti pembangkang Pulau Pinang bertindak di luar batasan undang-undang di sini hari ini dengan mengadakan demontrasi jalanan berhampiran komtar. Demontrasi yang disertai oleh penyokong-penyokong UMNO tidak berpuas hati atas kekalahan parti mereka di pulau mutiara berkenaan di dalam pilihanraya baru-baru ini. Mereka bagaimanapun menjadikan kenyataan Ketua Menteri yang baru dilantik baru-baru ini sebagai alasan. Antara mereka yang hadir di perhimpunan haram itu adalah Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan beberapa orang yang lain.

Tiga hari yang lalu perhubungan UMNO Pulau Pinang telah membuka tembelangnya dan mengambil sikap tidak matang dengan menentang arus rakyat yang menolaknya di dalam pilihanraya baru-baru ini dengan meminta kerajaan pusat membatalkan segala projek di Pulau Pinang termasuk perkhidmatan bas. UMNO yang sepatutnya membuat post-mortem lebih suka mengambil sikap kontra dan menghukum rakyat. Pemikiran kolot seperti inilah membuat UMNO terus ke belakang dan tidak layak untuk diberi kepercayaan untuk memerintah. Bak pembesar Temasik di zaman Hang Nadim.

Sikap perkauman dan permusuhan UMNO menunjukkan ia sudah tidak relevan lagi dan wajar dimuziumkan. DEB yang dilaung-laungkan sebenarnya telah gagal kerana ia lebih kepada retorik dan fatamorgana sahaja. Fakta membuktikan Melayu hanya memiliki tidak sampai 10% aset negara selepas 30 tahun dilaksanakan.

Selamatkan Malaysia.

Isnin, 10 Mac 2008

Siapa Pengarah Jentera Pilihanraya BN?

BN malu besar. Rekod paling buruk BN. PM mesti bertanggungjawab. Suara rakyat bergema. Rakyat sudah muak. Bermacam-macam suara kedengaran selepas Pilihanraya. Yang paling kuat adalah desakan meletakkan jawatan kepada Presiden BN.

Namun yang cukup aneh kenapa orang ramai lupa siapakah yang menjadi Pengarah Jentera Pilihanraya BN ketika BN kalah teruk dan gagal menguasai 2/3 parlimen. Adakah Pengarah Jentera yang menjadi mastermind ini boleh berlepas tangan sahaja? Malah yang paling melucukan ialah Pengarah ini sendiri lupa diri dan menyalahkan orang lain. Kesian Pak Lah. Beliau silap memilih Timbalan. Agaknya Timbalan yang paling wajar dilantik ialah siapa lagi kalau bukan Khairy Jamaluddin.

Teruskan memimpin Pak Lah dan Najib. Jangan Lupa melantik Khairy sebagai Menteri. Kekalkan style sedia ada. Jangan letak jawatan. Lupakan desakan orang bawah. Semua orang bawah hendak menghancurkan UMNO.

Hidup kerajaan 3 beranak.

Tahniah, Selamat Bertugas.

Segala Puji Bagi Allah yang bagiNya Kerajaan di Langit dan di Bumi. Dialah yang memberi kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah yang berhak menarik kerajaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.

Untuk Warga Selangor, Perak, Kedah, Penang dan Kelantan.
Sejuta Tahniah dan Terima Kasih kerana memberi kepercayaan kepada BA untuk memerintah, lebih terutama kepada kaum Cina dan India.

Kepada kepimpinan semua peringkat PKR, DAP dan PAS. Tugas anda baru sahaja bermula. Laksanalah dengan Adil dan Saksama amanah yang diberikan Allah. Jangan berlagak sombong. Ingatlah, amanah bukan untuk dibanggakan. Ia adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari kiamat. Jangan berlaku zalim sama sekali.

Kuasa bererti amanah. Bukan lesen untuk melakukan kezaliman dan membalas dendam. Rakyat di bawah naungan anda sedang menantikan tindakan anda. Jangan lupa untuk tunaikan janji. Perbanyakkan tasbih dan beristighfar kepada Ilahi. Tadaburlah surah al nasr.

Selamat Menjalankan Tugas.

Rabu, 5 Mac 2008

Khas Buat Kekanda Warga Kelantan.

Menemui sahabatku, warga kelantan yang sentiasa di dalam ingatan.

Aku di Terengganu kini dalam keadaan sihat sejahtera walaupun sedikit kegusaran. Apa khabar kekanda sekarang? Adinda mendoakan kekanda sentiasa dianugerahkan dengan kesihatan yang baik di bawah payung pemerintahan Tok Guru tercinta.

Genap 7 tahun adinda kembali di Terengganu setelah sekian lama merantau. Banyak perubahan yang adinda lihat terutama 3 tahun terakhir ini berbanding pada mula-mula adinda balik ke Terengganu dahulu. Suasana di sini tidak lagi seaman, selamat dan makmur.

Tidur adinda sering terganggu dengan ingatan pagar yang belum dimangga, pintu grill juga belum dimangga, stering kereta belum dikunci. Bunyi yang membingitkan telinga juga sering menganggu kami sekeluarga tidur lena. Sering juga adinda keluar malam untuk lihat sendiri suasana sebenar. Kekadang ada juga kekanda menghubungi pihak berkuasa membuat aduan tapi malang polis sibut dengan ceramah pembangkang.

Kekanda warga Kelantan yang dikasihi,
Walaupun adinda tinggal hanya 4km dari pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan terpaksa membayar cukai RM180 setahun, kawasan perumahan adinda masih tiada lampu limpah dan longkang. Jalan ke rumah adinda pun tidak diturap dengan tar. Apabila adinda mengadu dan memohon, orang pejabat kata mesti dapat kelulusan JKKK. Adinda pernah buat aduan kepada Yang Berhormat yang bertaraf Timbalan Menteri, tapi hanya berjanji.

Kekanda beruntung tinggal di Kelantan di bawah Tok Guru yang amanah. Barang di sana murah dan berpatutan, walaupun negeri tidak kaya tapi rakyat aman, makmur dan rasa selamat. Ustaz kata itulah adalah barakah dari Tuhan, manakala rasa takut, terganggu dan tidak selamat adalah sejenis daripada bala yang Tuhan timpakan.

Kekanda warga Kelantan yang disayangi,
8hb ini adalah "Hari Besar" menentukan kerajaan. Adinda dengan rendah diri mengharapkan kekanda mengekalkan kerajaan Tok Guru yang sedia ada. Jangan jadi seperti warga adinda di Terengganu.

Hari ini, ramai warga adinda rasa menyesal. Kekanda bayangkan, wang yang boleh mentadbir satu negeri dihabiskan di sebuah pulau yang tiada penghuni. Masjid yang dahulunya makmur kini sunyi sepi. Remaja yang dahulunya sibuk dengan aktiviti sekolah dan berfaedah kini riuh rendah dengan konsert dan berpeleseran.

Kekanda warga Kelantan yang dirahmati,
Sekiranya warga kekanda menolak Tok Guru, adinda pasti kekanda akan menerima nasib yang sama. Adinda berkeyakinan kekanda yang bijaksana tidak akan membuat pilihan ini.

Cukuplah sampai di sini coretan adinda, semoga kita sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah Illahi. Sekian.

Sabtu, 1 Mac 2008

Sistem Pendidikan Malaysia Gagal: Datuk Siva.

Setelah Profesor Ekonomi daripada UM yang buta baru-baru ini dengan tegas menyanggah pandangan Dato' Seri Najib yang menyatakan bahawa Malaysia akan muflis jika menurunkan harga minyak seperti yang dihasratkan oleh Barisan Alternatif jika diberi mandat memerintah, kini Datuk Siva Subramaniam pula dengan penuh berkeyakinan menyatakan bahawa sistem Pendidikan Malaysia gagal.

Datuk Siva berkata demikian di dalam wawancara hari ini di dalam program Analisis Pilihanraya yang disiarkan secara langsung di Astro Awani. Program yang disiarkan dua kali sehari itu menampilkan tokoh-tokoh akademik dan pengalisis tanah air.

Tanpa menafikan pembangunan fizikal Malaysia yang pesat dan banyak perubahan yang telah berlaku sejak daripada 50 tahun yang lalu, Datuk Siva yang juga Pesuruhjaya Suhakam menyatakan pembangunan manusia tidak berjalan seiring, sistem pendidikan Malaysia hanya mementingkan akademik semata-mata. Justeru itu ia gagal membentuk jatidiri dan keperibadian pelajar.

Kenyataan ini pernah diutarakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa BN hanya mengambil Islam hanya dari sudut hadhari sahaja. Lantaran itu statistik jenayah dan salah laku negara yang sentiasa meningkat membenarkan kenyataan ini. Begitu juga statistik salah laku remaja dan jenayah juvana. Semua ini membuktikan kegagalan
Barisan Nasional.

Datuk Siva juga ada menyebut kepincangan perlantikan ahli Majlis PBT, dan juga kegagalan peranan Yang Berhormat yang sukar ditemui untuk menyelesaikan masalah rakyat. Ini menyebabkan rakyat terpaksa mencari individu atau institusi yang lain. Beliau mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Damansara, masalah rakyat tidak diselesaikan dengan sebaiknya. Wakil Rakyat hanya turun dan boleh ditemui pada musim pilihanraya.

Wakil Rakyat sebegini tidak boleh diterima lagi tambah Datuk Siva. Inilah bahananya kalau kita memilih orang yang bertanding untuk cari makan bukan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ke Arah Negara Berkebajikan. Selamatkan Malaysia. Tolak BN.

Khamis, 28 Februari 2008

BN menghormati Undang-undang?

Media sering mewar-warkan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sering melanggar undang-undang dan membuat sesuka hati. Persoalannya adakah BN menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal di dalam parlimen?

Sejak daripada penamaan calon, 24hb februari yang lalu hingga hari ini kita boleh lihat dengan jelas sejauh mana BN menghormati dan patuh kepada undang-undang. Pada hari pencalonan sahaja sebagai contoh kita boleh lihat dengan jelas betapa BN ini langsung tidak menghormati undang-undang. Jika SPR yang tiada maruah tidak bersekongkol dengan mereka, banyak calon-calon BN sudah terbatal pencalonannya. Negeri Terengganu sudah pun jatuh ke tangan PAS kerana majoriti calon-calon BN tidak menyertakan Akuan Berkanun dengan duti setem yang dimatikan. Inilah keangkuhan BN. Di parlimen Kuala Kangsar, Dato' Seri Rafidah dengan sombongnya tidak menandatangani borang penamaan calon namun ia masih sah dan bantahan ditolak. Patuhkan BN kepada undang-undang? Agaknya kalau borang kosong sekalipun yang dihantar ia tetap akan diterima oleh SPR. Begitulah taatnya SPR kepada bosnya, BN. Bukannya kerajaan Malaysia.

Sejak daripada penamaan calon hingga kini berapa patahkah ucapan parti PAS dan pembangkang yang lain disiarkan? Khususnya dalam media eletronik. Ini jauh berbeza dengan BN, kempen-kempennya disiar dalam hampir semua siaran, kerajaan dan swasta. Mana maruah BN? Adakah ini bertepatan dengan undang-undang?

Pergilah ke pejabat-pejabat kerajaan, nescaya kita boleh melihat buku-buku kempen BN dengan jelas berada di atas kaunter tanpa malu dan segan. Pegawai-pegawai kerajaan dikerah hadir ke majlis anjuran BN atas nama jabatan masing-masing. Adakah ini pun mengikut undang-undang?

Paling jelas ialah undang-undang tidak termaktub kepada UMNO dan koncu-koncunya. Ia hanya untuk PAS dan parti-parti pembangkang yang lain. Inilah Malaysiaku. Andainya Barisan Alternatif tidak menghormati undang-undang negara kita tidak akan aman. Walau bagaimanapun setiap kesabaran itu ada hadnya.

Selamatkan Malaysia. Tolak BN.

Saringan Calon-calon BN Bocor dan Lemah atau disabotaj?

Kita sekali lagi dikejutkan oleh kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar bahawa calon BN bagi N10 Bukit Pinang, Pulau Pinang mempunyai kes pecah amanah.

Menurut Haji Mahfuz, Che Omar telah dilucutkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad sejak 25 Dis 2007 kerana kes penyalahgunaan kuasa semasa pembelian tanah koperasi melebihi RM6 juta. Berikutan itu Pengurusan koperasi itu kemudian membuat aduan polis mengenai beberapa kes penyelewengan Che Omar pada Disember lepas. Walau bagaimanapun dijangka SPR tidak akan membuat apa-apa tindakan kerana calon berkenaan adalah mewakili BN.

Presiden BN ketika ditanya berkata BN tidak dapat berbuat apa-apa kerana nama beliau telah pun disahkan sebagai calon walaupun pihak pembangkang membuat dakwaan mengenai kes Che Omar. Apa yang menghairankan ialah menurut Bapak BN partinya telah menyaring semua bakal calonnya sebelum mereka dipilih bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata semua pihak termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diminta untuk merujuk kepada Jabatan Insolvensi, Badan Pencegah Rasuah dan polis secara spesifik bagi memastikan seseorang calon itu layak untuk bertanding.

Ini membuktikan saringan calon-calon BN ini lemah dan ramai juga yang mendakwa bahwa sebahagian calon BN ini lebih bersifat bidang terjun kerana kepentingan individu-individu tertentu. Ini menyebabkan saringan yang didakwa itu sebenarnya tidak berlaku.

Sebelum ini seorang calon BN ditolak oleh SPR pencalonannya di DUN Kijang Kelantan kerana didapati bertaraf muflis. Ini menyebabkan calon dari PAS menang percuma.

Hal ini cukup berbeza dengan calon-calon yang dikemukakan oleh PAS yang mempunyai wibawa dan keperibadian yang tinggi. Ini kerana syarat-syarat yang dikenakan agak ketat termasuklah seorang yang taat kepada Allah dan tidak melakukan dosa besar.

Rabu, 27 Februari 2008

Pembohongan SPR terbongkar lagi, Calon-calon BN Terengganu Batal

" Kepincangan pilihanraya umum kali ke 12 negara terus tercemar dengan suatu pembohongan terbesar pada abad ini pada hari penamaan calon, ahad lepas terbongkar apabila setiausaha SPR, Datuk Kamazaman Mohd Noor mengeluarkan kenyataan bahawa SPR tidak pernah mengeluarkan sebarang surat membatalkan Akuan Berkanun dengan duti setem yang dimatikan.

Khamis lalu, SPR mengeluarkan arahan yang buat pertama kalinya calon perlu mengemukakan Akuan Berkanun tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 4(7) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 juga tidak mengecualikan bayaran duti setem bagi Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A).

Ahad lepas, sewaktu penamaan calon di banyak kawasan di negeri Terengganu (dipercayai di seluruh negeri Terengganu) termasuklah Marang dan Hulu Terengganu, semua calon-calon UMNO tidak melaksanakan arahan tersebut. Namun apabila bantahan dilakukan SPR di kedua-dua kawasan ini menyatakan bahawa SPR telah membatalkan arahan ini melalui faks semalam (sabtu).

Kata-kata SPR di kedua-dua kawasan ini ternyata bohong dan menipu apabila Setiausaha SPR menafikannya semalam.

Apa yang sangat dikesali sikap SPR yang tidak profesional dan pengecut untuk membatalkan pencalonan calon-calon dari Barisan Nasional yang bersikap angkuh dengan tidak menghormati undang-undang dan engkar.
"