Isnin, 18 Jun 2007

Britain Hina Islam, Apa Tindakan Kita?

Tindakan Britain menganugerahkan "Sir" kepada Penjenayah Salman Rushdie adalah suatu penghinaan secara terang-terangan kepada Dunia Islam dan Umat Islam seluruh dunia. Apa jasa Salman Rushdie melainkan karya kotornya yang menghina Al Quran dan Junjungan Besar Nabi SAW.

Suatu tindakan tegas perlu dilakukan. Malaysia selaku pengerusi negara OIC perlu peka dalam isu ini. Pak Lah kena bangun dari tidur. Jangan dok syok dengan bini baru tu je. Bantahan perlu dilakukan. Dalam masa terdekat ini, barangkali kita akan melihat demostrasi akan dilakukan oleh negara-negara umat Islam yang peka.

Tindakan awal Iran mengutuk Britaian perlu dipuji, walaupun sepatutnya Malaysia yang menjadi pendahulunya. Tapi mungkin agaknya Pak Lah tak tahu tu...

Apa motif Britain menganugerahkan "Sir" kepada si penjenayah ini? Saya setuju dengan pandangan jurucakap kementerian luar Iran, “Memberi penghormatan kepada orang yang termasuk di kalangan mereka yang paling dibenci dalam masyarakat Islam menjadi bukti nyata sikap Islamofobia para pegawai tinggi Britain, Anugerah itu menunjukkan gerakan untuk menghina umat Islam bukan wujud secara kebetulan tetapi merupakan gerakan terancang yang mendapat sokongan beberapa negara Barat,” kata Mohammad Ali Hosseini .

Marilah kita mengambil bahagian kepada apa jua tindakan membantah tindakan biadab Britain. Kita wajib menyatakan perasaan benci kita kepada mereka yang cuba menghina Islam dan Umat Islam.

Kenyataan Menarik Ayah Altantuya

Berikut beberapa fakta menarik tentang altantuya, kenyataan dari ayahnya Dr Setev Shariibu :

1. Altantuya bukan seorang model, tidak pernah menjadi seorang model.
2. Bukan seorang Islam, Amina adalah nama timangannya. (Hidupku dalam bahasa Mongolia)
3. Tiada hubungan sulit dengan Razak Baginda.
4. Seorang wanita yang terpelajar, menguasai 5 bahasa dan pernah belajar dari 2 universiti.

Kesalahan Besar altantuya (menurut ayahnya) mempunyai maklumat sulit yang banyak. Dr Shariibu yakin ada konspirasi peringkat atasan dalam pembunuhan anaknya.
1. Ada usaha yang bersungguh pihak media memburukkan imej anaknya.
2. Tindakan-tindakan mahkamah yang meragukan.


http://www.tvpas.com/material.php?cat=berita&id=5082


Sabtu, 16 Jun 2007

KONGRES ANAK TERENGGANU

KONGRES ANAK TERENGGANU (KAT)

30hb JUN 2007 ( sabtu)

9.00 am - 5.00 pm

Dewan Dato' Fadhil Mohd Noor
Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar

Penceramah dan Pembentang Kertas

YAB Tuan Guru Mursyidul Am
Dato' Seri Tuan Guru Presiden
YB Haji Husam Musa
Dr Shafie Abu Bakar

Dijemput kepada semua anak Terengganu di Lembah Kelang untuk hadir sama.

Sebarang pertanyaan hubungi : 019-2183070 (suhaimi)


Isnin, 11 Jun 2007

Kenali PM anda, Khalifah Had hari.

Sekalung Tahniah kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana sudi berkahwin lagi. Memang sukar hidup keseorangan kalau selama ini biasa mempunyai isteri yang tersayang di samping. Memilih isteri bukan seperti memilih baju ataupun pena, mudah diambil mudah pula dipulangkan. Islam mengajar kita memilih isteri mestilah dilihat pertamanya kepada Agama, ciri-ciri yang lain adalah dikemudiankan. Tidak susah untuk kenali siapa itu Pak Lah.

Keperibadian seseorang boleh kita lihat melalui tingkah lakunya, tindakannya, kegemarannya, penampilannya, rakan-rakan sekelilingnya dan hobi masa lapangnya. Apabila Pak Lah memilih Jeanne Abdullah sebagai isteri, itulah citarasa Pak Lah, Idaman Kalbu Pak Lah. Teringat saya dengan satu interview yang tersiar di akhbar bersama Mawi selepas terputus tunang dengan Ina Naim, "Saya akan cari wanita yang sopan dan bertudung". Mawi jauh lebih baik dari Pak Lah dalam isu ini.

Selepas kematian Endon sebenarnya inilah peluang yang besar yang Allah Taala berikan untuk mencari isteri yang lebih baik, tapi rupa-rupanya Pak Lah tidak suka kepada wanita yang bertudung, "not my taste". Kecuali Pak Lah dipaksa kahwin. Ye ke? Malunya.

Agaknya ini juga termasuk dalam pendekatan Islam Had hari. Apa pandangan Idris Jusoh? Ramai rakyat kecewa dengan pemilihan Pak Lah. Apa aku peduli... Tolonglah malu sikit dengan isteri Yang DiPertuan Agong. Belajar lah sikit dengan Sultan Mizan. Walaupun jauh lebih muda, tapi jauh lebih matang dan berwibawa, Daulat Tuanku.

Pak Lah langsung tidak layak bercakap tentang Islam. Hanya tahu yang sunat, yang wajib berteraburan. Inilah dia Pak Lah. Khalifah Islam Had hari Pertama.


Isnin, 28 Mei 2007

Kematangan PAS dan ahli-ahli PAS

Tahniah kepada PKR yang telah berjaya mengadakan Kongresnya dengan lancar dan kemuafakatan yang tinggi. Walaupun banyak media dan pihak cuba mengapi-apikan pemilihan barisan kepimpinan yang berlaku dalam mesyuarat tersebut. Namun mereka gagal.

Kini giliran PAS pula yang akan bermuktamar. PAS mengambil sikap untuk meneruskan pemilihan walaupun parti-parti kerajaan yang kononnya kuat menangguhkan pemilihan kerana menumpukan kepada pilihanraya yang hampir tiba. Kematangan ahli-ahli PAS menyebabkan PAS tetap meneruskan pemilihan kepimpinannya. Ini satu tamparan kepada parti kerajaan yang menampakkan mereka adalah lemah dan rapuh.

Muktamar PAS yang akan berlangsung di PUTIK, Kelantan tahun ini dikatakan agak panas. Pertama, isu-isu pilihanraya, persiapan jenteranya, calon-calon, mempertahankan kelantan, merampas kembali terengganu dan lain-lain lagi. Kedua, pemilihan kepimpinan baru, AJK Pusat, Pemuda dan Muslimat, tidak terkecuali Dewan Ulama.

Pemilihan Kepimpinan yang menjadi bualan hangat kini ialah kerusi panas Timbalan Presiden. Penyandang sekarang, Ust Nasaruddin Mat Isa menerima cabaran daripada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Hj Harun Taib. Jika ini benar-benar berlaku ibarat pertandingan antara seorang murid dengan gurunya sendiri. Pertandingan ini berlaku keran pencalonan daripada kawasan-kawasan. Bagi saya, ini sebenarnya satu mesej besar daripada kawasan-kawasan dan dewan ulama kepada organisasi parti dan perwakilan serta peranan jawatan timbalan presiden.

Ust Nasharudin yang memegang jawatan Timbalan Presiden sekarang cukup dikenali oleh semua warga PAS, kerana sebelum itu pun beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agong dan AJK Pemuda Pusat. Beliau antara penceramah yang berwibawa kerana kepetahan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Malah Beliau kelihatan agak disenangi oleh orang ramai dan mendapat tempat di media, mungkin beliau bersikap lebih terbuka dan mudah.

Ini mungkin berbeza dengan Ust Harun Taib yang terkenal dengan ketegasan khususnya perkara yang berkaitan dengan dasar dan keputusan parti. Jasa Beliau kepada parti adalah suatu yang sukar dilupakan. Beliau tidak pernah memegang jawatan di dalam Dewan Pemuda kerana terus menjadi setiausaha perhubungan PAS Terengganu sewaktu usia kepemudaannya. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu dan menjadi tulang belakang kepada Lajnah Tarbiyah PAS Pusat di samping penyandang Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sejak awal 90-an. Bagi orang yang pernah melalui pentarbiyahan PAS hampir mustahil mereka tidak mengenali Ust Harun Taib, malah saya yakin Ust Nasha pun antara anak didik Ust Harun Taib.

Lantaran itu, saya berkeyakinan keputusan yang dibuat oleh Ust Harun Taib untuk bertanding juga bukan mudah berdasarkan peribadi beliau dan track record perkhidmatan beliau. Walaupun penyandang sekarang adalah Ust Nasharuddin Mat Isa, tetapi melihat kepada kesungguhan kawasan, dewan ulama dan Ust Harun sendiri, saya rasa lebih baik ust Nasharuddin mengundur diri. Bukan tujuan bertandingan untuk mengukur populariti tetapi lebih kepada menjaga halatuju dan perjalanan parti.

Sampai masanya ulama di"profesional"kan dan profesional di"ulama"kan (memimjam kata ust harun muktamar ulama tahun 97) dengan program tarbiyah yang bersungguh, masak dan matang. Ahli PAS mesti berbangga dengan dasar Islam yang dibawa, tidak perlu rasa malu dan ragu-ragu. Kemenangan adalah kurniaan Allah. Kewajipan adalah bekerja dan bekerja dan bekerja menyampaikan mesej Islam. Halangan dan cabaran adalah suatu sunnah perjuangan. Islam itu Indah.

Rabu, 23 Mei 2007

Apa Faedah Gaji RM5 ribu tapi sekilo Beras RM50

Kenaikan Gaji kakitangan awam disambut dengan gembira oleh semua rakyat yang terlibat walaupun faedahnya tidak dinikmati oleh semua rakyat. Bayangkan setelah 12 tahun berlalu baru ada kenaikan gaji. Selama 12 tahun itu juga entah berapa puluh kali pula harga barang-barang harian dan minyak dinaikkan. Kakitangan kerajaan mungkin boleh menarik nafas lega sedikit. Tetapi bagaimana pula orang kampung atau orang yang bekerja sendiri kecil-kecilan apa faedah yang mereka dapat dalam keadaan harga minyak dan barang-barang keperluan melambung.

Tindakan yang paling bijak ialah menurunkan harga barang atau minyak. Semua rakyat akan mendapat faedah tanpa terkecuali, kakitangan awam, swasta, pelajar malah peniaga-peniaga kecil dan orang kampung akan merasa cukup gembira. Namun begitu hal ini hampir mustahil berlaku dalam negara kita. Entah di mana kuasa sebuah kerajaan. Semuanya dipulangkan kesalahannya kepada rakyat marhain. Jimat berbelanja. Belanja berhemah. Jangan Boros dan sebagainya yang muak kita mendengarnya. Pemborong/pembekal naikkan harga barang tapi peniaga kecil WAJIB kekalkan harga lama. Itulah nasib.

Apa faedahnya kalau gaji RM5 ribu sekalipun, kalau beras RM50 sekilo, gula RM10 sekilo, ayam RM20 sekilo. Alangkah baiknya kalau gaji RM1 ribu tapi beras RM1 sekilo, gula RM0.50 sekilo, ayam RM2 sekilo. Mungkinkah ini berlaku? Kalau kerajaan benar-benar ingin membela rakyat inilah yang akan dilakukan. Setujukah anda?

Selasa, 8 Mei 2007

Hukuman 100 sebatan perlu dilaksanakan : Mufti

Pergaulan bebas dorong lakukan hubungan haram


MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menyarankan bahawa sudah sampai masanya negara ini mencuba undang-undang al-Quran bagi memberi pengajaran dan peringatan supaya aktiviti haram seperti berzina dan buang bayi tidak terus menjadi budaya dalam masyarakat.

“Jika didapati berzina, hukuman 100 sebatan perlu dilaksanakan. Jangan mempertikaikan dan mendakwa ia hukuman kejam kerana pelaksanaan hukuman itu pada dasarnya cukup teliti dan mengambil kira pelbagai faktor.

“Hukum sebat dalam Islam bukan seperti hukuman sebatan dalam ‘Semerah Padi’. Malah hukuman sebatan dilaksanakan di penjara pada masa ini lebih memeritkan. Tetapi, saya yakin jika hukum al-Quran digunakan, gejala tidak bermoral ini dapat dikurangkan. Jika selama ini negara kita sudah banyak mencuba pelbagai kaedah, apa salahnya mencuba kaedah al-Quran pula,” katanya.

Beliau berkata, pastinya bayi yang dibuang adalah anak hasil hubungan tidak sah atau luar nikah dan tindakan itu biasanya diambil kerana malu serta khuatir menjadi penghinaan masyarakat.

Katanya, peningkatan jumlah pembuangan bayi membuktikan perhubungan haram juga semakin meningkat ketika ini.

“Jelas sekali pada masa ini, kerosakan sosial serius melanda generasi muda kita. Semua ini kebanyakannya berpunca daripada hubungan bebas yang tidak terkawal, seterusnya mendorong kepada hubungan lebih intim sehingga melahirkan anak luar nikah. Faktor lain ialah peluang menikmati hiburan tanpa had yang seterusnya mendorong mereka mengadakan sesuatu di luar batasan.

“Jika ditanya kepada mereka terbabit, pastinya alasan akan diterima ialah kerana takut masyarakat tidak dapat menerima hubungan haram mereka. Justeru, mereka perlu menyembunyikan hasil hubungan yang menjadi bukti kelakuan berdosa mereka,” katanya.

Beliau berkata, ia satu tindakan sangat negatif, tetapi positifnya ialah ia membuktikan masyarakat kita masih tahu malu. Nilai murni masyarakat Timur berbeza dengan Barat yang tidak kisah dengan anak hasil hubungan haram. Tetapi, ia tidak boleh menghalalkan cara mereka pilih untuk menutup malu itu. Perbuatan itu tetap haram dan berdosa.

Dr Asri berkata, lebih teruk lagi ialah pelaku berdepan dengan dua dosa sekali gus, iaitu dosa ketika melakukan zina dan dosa kerana menzalimi anak yang tidak bersalah. Ia juga menunjukkan hilangnya nilai keinsanan serius di kalangan mereka.

Malah, lebih teruk lagi mereka sudah hilang nilai keibubapaan yang sepatutnya wujud ketika menatap wajah anak dikandung sebelum ini.

Beliau bersetuju diwujudkan pusat sehenti untuk membolehkan pasangan terlanjur menyerahkan anak yang dilahirkan dan tidak mahu dipelihara, tetapi ia mesti dipastikan tidak menjadi beban kepada negara selain langkah pencegahan perlu diperkuatkan bagi membendung gejala negatif ini.

Sekurang-kurangnya, dengan wujud pusat sehenti seperti itu dapat menyelamatkan bayi daripada dibuang di tempat berisiko.


Isnin, 7 Mei 2007

Mudahnya kerja Menteri

Yuran astro membebankan: "Kalau tidak suka, jangan tengok Astro" Ini kenyataan mudah menteri BN, Keng Yaik lepas tangan. Nada sebegini kita bukanlah kali yang pertama dari orang yang bertaraf menteri.

"Harga Minyak dunia naik, kita terpaksa naikkan harga minyak negara... Rakyat kena berjimat."

"Gula kasar tiada di pasaran, rakyat perlu kurangkan penggunaan gula."

"TNB mengalami kerugian, tarif elektrik terpaksa dinaikkan... Rakyat perlu berkorban."
"Kenaikan Harga Tol tidak dapat dielakkan. "

Inilah kenyataan-kenyataan pentadbir negara. Di mana tanggungjawab mereka membela rakyat. Rakyat terus menjadi mangsa. Apa kerja menteri-menteri ni? Melayan korporat... Kerja bukan hanya bila time pilihanraya je... Kalau macam ni lah gayanya bodoh betul laa rakyat yang sokong BN, langsung tidak boleh diharap.

Aku rasa kalau laa cadangan yang nak hapuskan kereta yang lebih 15 tahun diterima baik kita buat reformasi kali kedua la...

rakyat tension

Antara Politik orang dakwah dan Dakwah orang politik

Hukumlah dengan keluasan Islam bukan sentimen

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

ADA orang bertanya, apakah bezanya antara politik orang dakwah dan dakwah orang politik? Saya kata barangkali itu hanya mainan bahasa. Saya kurang suka dengan mainan bahasa, yang penting adalah maksud dan tujuan sesuatu ungkapan. Ungkapan itu mungkin dimaksudkan politik orang dakwah menggunakan kaedah dan strategi yang diizinkan syarak. Adapun dakwah orang politik kadangkala dia menjadikan ajakannya kepada Islam mempunyai tujuan politik.

Saya bukan menafikan kemungkinan orang politik juga jujur dalam dakwahnya. Namun jika kedudukan politik menjadi fokus dalam dakwah, dia bukanlah pendakwah sebenar yang membawa obor Islam yang syumul dan lengkap. Perkara ini saya tujukan untuk semua tanpa berpihak.

Kita disuruh memasuki Islam dari pintu yang syumul. Seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah: 208: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Apabila kita memasuki Islam secara keseluruhan, kita akan dapati dalamnya ada akidah, ibadah, ekonomi, politik, akhlak dan sebagainya. Maka kita akan berusaha supaya setiap tuntutan Islam itu ditunaikan. Juga menilai setiap perkara dengan keluasan Islam itu. Jika kita cuba melihat Islam hanya dari pintu ekonomi umpamanya, tanpa melihat soal akidah, ibadah, akhlak, politik dan sebagainya, maka perbincangan ekonomi kita akan kontang dari sudut akidah, ibadah dan akhlak.

Sehingga jangan nanti panel-panel syariah bank hanya cekap ‘meluluskan’ produk-produk bank atas nama Islam, namun tidak memikir soal roh keadilan dan kebebasan dari unsur penindasan ekonomi ke atas pengguna yang merupakan cabang dari akhlak Islam. Maka ramai mulai terasa sesetengah produk perbankan Islam lebih membebankan berbanding konvensional.

Demikian juga janganlah dalam keghairahan berpolitik, kita melihat segalanya dengan nilaian politik. Kita melupai soal- soal akidah dan akhlak Muslim, persaudaraan Islam dan sebagainya yang menjadi tuntutan agama. Sama kesnya apabila seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya: “Dr! Adakah saya masuk neraka kerana tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah- ibadah yang lain?”

Saya beritahu: “Saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka. Ini kekuasaan mutlak Tuhan yang menciptakan neraka. Di akhirat, neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan Allah. Demikian juga syurga.”

Namun Allah memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firman- Nya (bermaksud), Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Haawiyah’ itu? (Haawiyah itu ialah): Api yang panas membakar. (al-Qariah: 6-11).

Adapun saya yang daif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat. Saya sendiri tidak tahu nasib saya, bagaimana saya boleh tahu nasib orang lain? Namun jika saudari bertanya, adakah perbuatan saudari salah atau betul, jawapannya, ia satu kesalahan.

Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka? Maka jawapan dalil-dalil al-Quran dan al-sunah menunjukkan ke neraka. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab.

Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia.

Dalam hidup ini, ada ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindah kepada kita atau dosa kita diberikan kepadanya seperti dalam hadis al-Imam Muslim. Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak Allah. Dosa menyumbang ke arah neraka, pahala ke arah syurga.

Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibu bapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. Allah yang maha adil akan menimbangnya dan menentukannya. Demikianlah semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat. Wanita itu diam, barangkali dia berpuas hati.

Mesej saya adalah hendaklah melihat setiap insan menerusi kerangka Islam yang menyeluruh, bukan sekadar sentimen ekonomi atau politik.

Janganlah kebencian kepada seseorang atau puak, menyebabkan kita tidak adil kepadanya. Firman Allah dalam surah al- Maidah: 8 (maksudnya): Wahai orang- orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Saya agak dukacita apabila mengenangkan ada ‘ustaz-ustaz’ daripada pihak tertentu yang belum dapat menerima beberapa perkara yang saya sebut lantas mereka menjawabnya secara ‘maki hamun’. Ada yang menjual kaset-kaset mereka ini.

Faktor yang menyebabkan hal ini adalah kerana menghukum berdasar sentimen. Sepatutnya, persoalan ilmiah dijawab secara ilmiah. Jangan terbawa-bawa dengan sentimen, lantas menjadikan maki hamun pendekatan dalam persoalan ilmiah syarak. Jangan tafsir, hukum semua perkara dengan nada politik atau ‘kaca mata’ politik.

Penilaian sesuatu kebenaran adalah dalil dan hujah bukan sekadar pandangan mereka yang ‘sekapal’ dengan kita. Jangan kerana seseorang itu, tidak ‘satu kem’ , maka semua pandangannya ditolak. Saya bukan orang politik. Nilailah pandangan-pandangan tersebut dengan nilaian ilmiah.

Persoalan dakwah dan ilmiah sebenarnya lebih jauh dari persoalan pilihan raya dan merebut kerusi. Kerja politik pilihan raya ada musimnya. Namun dakwah kepada Islam dalam bentuknya yang menyeluruh tidak terhenti dengan berakhirnya pilihan raya. Kadangkala mendengar sesetengah ceramah yang dikatakan agama yang dibaluti dengan makian dan sumpah seranah maka saya tertanya-tanya, adakah tindakan seperti ini bertujuan inginkan pahala, atau sekadar melepas amarah.

Adakah ini wajah dan suasana masyarakat Islam yang kita impikan? Inikah Islam yang lengkap, merangkumi segala keluhuran dan keharmonian? Namun saya tahu, bukanlah semua penceramah begitu. Ramai juga yang lunak dan bersopan.

Barangkali baik juga untuk semua mendapat manfaat dari nasihat tokoh dakwah yang masyhur, Al-Syeikh Abu al-Hasan Ali Al-Nadwi yang pernah ditujukan kepada Al-Ikhwan Al-Muslimin. Nasihat ini dirakamkan dalam risalahnya: Uridu an atahaddatha ila al-Ikhwan (Aku Ingin Berbicara Dengan Al-Ikhwan Al-Muslimin).

Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga memetik ungkapan-ungkapan indah risalah tersebut dalam bukunya, ‘Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu’.

Saya terjemahkan antara kata-kata itu: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu atau menghadapi buta huruf dan kejahilan atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti diperjuangkan para pejuang perubahan di Barat dan Timur.

Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, roh dan jasad. Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam hati dan jiwa, akidah dan akal. Ia terpancar dari hati sanubari sebelum terbit dari pena, atau helaian buku, atau mimbar syarahan. Ia terlaksana dalam tubuh pendakwah dan kehidupannya sebelum dia menuntut dilaksanakan dalam masyarakat keseluruhannya… Istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintah-Nya dan menunaikan risalah-Nya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperoleh kerajaan. Bahkan itu semua tidak terlintas dalam fikiran.

Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan. Ini seperti firman Allah (maksudnya), Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (al-Hajj: 41).

Bukanlah sama sekali kerajaan yang diperoleh itu salah satu dari matlamat mereka. Bukan jua salah satu dari tujuan mereka. Tidak jua dari tajuk perbicaraan mereka, atau salah satu dari mimpi mereka. Hanya ia adalah hasil semula jadi untuk dakwah dan jihad. Sama seperti buah yang merupakan hasil semula jadi dari kesuburan pokok dan kesungguhan pembajaannya….

Katanya juga: “Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehnya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya. Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan. Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah.

Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia - dengan izin Allah - dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada hari akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hamba-Nya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kasih kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.

Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa - setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang Mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu Al-Hasan Al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

Hasan Al-Hudaibi pernah menyebut, “Tegakkan negara Islam itu dalam diri kamu, nescaya ia tertegak di tanah air kamu.”

Perjuangan mewujudkan masyarakat Islam yang lengkap atau sempurna dari segi penghayatan dan pelaksanaan Islam adalah cita-cita mulia. Tiada siapa pun berhak mempertikaikannya. Cuma yang kita bincangkan, pendekatan dalam mencapai matlamat itu. Matlamat Islam mesti melalui denai-denai dan tatasusila Islam.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Hasrat Islam hendaklah diterjemahkan dalam wajah Islam. Jangan hasrat Islam diwatakkan kepada manusia dengan wajah yang tidak Islamik. Maka cita-cita Islam itu nanti akan dipertikaikan.

- Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Khamis, 3 Mei 2007

NUJ Mahu Kerajaan Iktiraf Blog Sebagai Media Baru

02 Mei, 2007 21:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mahu kerajaan mengiktiraf kewujudan laporan dalam internet dan blog sebagai media baru bagi menyebarkan maklumat.

Presiden NUJ Norila Mohd Daud berkata fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.

"Penggunaan internet dan konsep dunia tanpa sempadan yang tidak ditapis telah menjadikan maklumat lebih mudah diperoleh oleh sesiapa jua. Demikian halnya, apa jua penyalahgunaan oleh penjawat awam boleh didedahkan segera dalam internet" katanya dalam satu kenyataan di sini, sempena Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa yang akan disambut esok.

Beliau berkata ini selaras dengan misi kerajaan yang mahu memastikan akauntabiliti dan ketelusan serta meningkatkan sistem penyampaian yang lebih baik.

Pada masa yang sama, Norila berkata perkembangan saluran media baru ini telah mempengaruhi media arus perdana dan mengubah dunia kewartawanan pada masa kini.

"Melihat kepada perkembangan terkini, NUJ berpendapat kerajaan harus memberikan lebih kebebasan kepada akhbar tempatan dengan meminda beberapa undang-undang yang menyekat seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya.

NUJ berpendapat bahawa penggubalan Akta Kebebasan Maklumat akan dapat meningkatkan penyaluran maklumat antara jabatan kerajaan, media dan orang ramai, kata Norila.

-- BERNAMA

Rabu, 2 Mei 2007

Masihkah Wujud Barisan Altenatif?

Assalamualaikum,
Pilihanraya Ijok sudah mencatatkan satu sejarah suram negara dalam melaksanakan tanggungjawab pilihanraya sebagai syarat sebuah negara demokrasi. Demokrasikah Malaysia? Betulkah SPR sebuah badan yang bebas dan adil? Betulkah PDRM bertindak adil kepada semua? Jangan biarkan persoalan-persoalan seperti ini terus bermain di fikiran rakyat kelak buruk akibatnya... Agaknya betullah apa yang disebut oleh Utusan Malaysia "Berakhinya keadilan". Ini satu babak yang kita lalui.
Satu lagi babak yang menarik di dalam pilihanraya kecil Ijok ini ialah persoalan tentang Barisan Alternatif, adakah ia masih wujud? Persepakatan yang berlaku di dalam pilihanraya Ijok ini cukup menarik, walaupun calonnya adalah PKR tetapi tenaga pekerjanya adalah PAS , DAP dan sudah tentunya PKR. Gergasi-gergasi pembangkang yang dulunya dikenali dengan BA atau Barisan Alternatif seolah-olah kembali berdamai melupakan sengketa dan berganding bahu merempuh barisan nasional.
Adakah ini satu petanda baik untuk menghadapi pilihanraya umum ke 12 akan datang? Mampukah ia bertahan?
Pilihanraya Ijok menyaksikan bagaimana keyakinan dan harapan pembangkang khususnya parti yang bertanding iaitu PKR kepada SPR dan pihak polis. Kalau keyakinan ini tidak wujud sudah tentu PKR tidak akan membawa 2 buah bas "hantu" ke balai polis. Laporan demi laporan polis dibuat oleh pihak pembangkang yang membabitkan keganasan petugas BN semoga ia tidak dibakul sampahkan.
Di masa-masa akan datang parti-parti pembangkang perlu membuat persiapan rapi entah apakah lagi undang-undang atau peraturan baru yang hendak diperkenalkan SPR. Tapi ingat rakyat sudah mula rasa mual dengan kerajaan BN hari ini.

Tafsir Quran : Surah Al Baqarah ; ayat 203

Syeikh al-Maghari berkata: Selepas Allah memerintahkan untuk berzikir dengannya di Masy’aril Haram, mereka tidaklah berzikir kepadanya di sana dan memerintahkan dengan zikirnya ketika sempurna menunaikan ibadat haji selepas hari-hari Mina. Dengan mereka banyak menyebut kelebihan nenek moyang mereka. Lantas Allah menyuruh mereka berzikir pada hari-hari Mina.

Allah berfirman, Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. (Al-Baqarah: 203)

Firman Allah s.w.t: Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Ibn al-Jauzi berkata:

i. Iaitu takbir di sisi Jamarat dan selesai solat, begitu juga waktu-waktu lain dari waktu haji.

ii. Takbir selepas solat fardu. Berhubung dengan pendapat ini mereka telah khilaf waktu dimulakan takbir dan disudahinya dengan enam pendapat:

* Dimulakan takbir dari solat fajar hari Arafah hingga selepas solat Asar pada akhir hari tasyrik. Inilah pendapat Ali, Abu Yusuf dan Muhammad.

* Dari solat fajar hari Arafah hingga solat Asar hari raya. Inilah pendapat Ibn Mas’ud dan Abu Hanifah.

* Dari selepas solat Zuhur hari korban hingga selepas Asar pada akhir hari Tasyrik. Inilah pendapat Ibn Umar, Zaid bin Thabit, Ibn Abbas dan ‘Ata’.

* Bahawa dimulakan takbir dari solat Zuhur hari korban hingga selepas solat Zuhur hari nafar, iaitu hari kedua dari hari tasyrik seperti kata al-Hasan.

* Dimulakan takbir dari waktu zuhur hari korban hingga solat Subuh pada akhir hari tasyrik. Inilah pendapat Malik bin Anas dan satu pendapat dari Imam Syafie.

* Dimulakan takbir pada waktu solat Maghrib malam raya korban sehingga solat subuh pada akhir hari-hari tasyrik. Inilah pendapat Imam Syafie dan juga Imam Ahmad.

Berkenaan maksud hari yang dikira (ma’dudat) dengan tiga pendapat:

* Hari-hari tasyrik seperti pendapat Ibn Umar, Ibn Abbas, al-Hasan, ‘Ata’, Mujahid dan Qatadah.

* Hari korban dan dua hari selepasnya seperti riwayat Ali dan Ibn Umar.

* Hari 10 Zulhijjah seperti riwayat Sa’id bin Jubair dan al-Nakha’ie.

Hari-hari berzikir dan menyebut nama Allah (dengan bertakbir dan bertahmid) mengikut pendapat yang rajih ialah hari Arafah, hari korban dan hari tasyrik selepasnya. Ujar Ibn Abbas yang dimaksudkan dengan hari-hari tertentu ialah hari-hari tasyrik. Ujar Ikrimah: maksud berzikir pada Allah pada hari-hari tertentu itu ialah bertakbir pada hari-hari tasyrik selepas menunaikan sembahyang fardu iaitu ucapan Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Di dalam hadis yang telah lepas daripada Abdul Rahman Ibn Ma’mar al-Dailami, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Dan hari-hari tinggal di Mina itu tiga hari dan sesiapa yang bertolak segera meninggalkan Mina pada yang kedua, maka tidak ada apa-apa dosa ke atasnya dan sesiapa yang lewat meninggalkan Mina, maka tidak ada apa-apa dosa ke atasnya.

Hari-hari Arafah, korban, tasyrik merupakan hari-hari yang wajar untuk berzikir kepada Allah iaitu dua hari yang pertama darinya atau dua hari yang akhir darinya. Semuanya itu dengan syarat takwa.

Firman Allah: (Ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertakwa. Kemudian ayat yang berikut mengingatkan mereka dengan pemandangan mahsyar sesuai dengan pemandangan haji. Ia merangsangkan perasaan takwa di dalam hati mereka di hadapan pemandangan mahsyar yang ngeri itu.

Jika ditanya; sesungguhnya ditakuti dosa yang segera maka bagaimana pula yang mentakhirkan diikuti dengannya dan yang datang dengannya lebih afdal? Ada empat jawapan berkenaan persoalan di atas:

i. Maknanya tiada dosa bagi yang segera dan bagi yang takhir mendapat pahala.

ii. Tiada dosa bagi yang terakhir dalam meninggalkan rukhsah.

iii. Telah hilang segala dosa yang segera dan takhir sebelum haji kedua-duanya.

iv. Dibuang dosa dari yang segera dan takhir dengan syarat takwa.

Firman Allah s.w.t: Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Maksud bagi siapa yang bertakwa dengan tiga pendapat:

* Bagi siapa yang bertakwa untuk membunuh binatang buruan seperti pendapat Ibn Abbas.

* Bagi siapa yang bertakwa dari maksiat ketika melaksanakan ibadat haji seperti kata Qatadah. Ibn Mas’ud berkata: Sesungguhnya keampunan Allah bagi siapa yang bertakwa dalam hajinya.

* Bagi siapa yang bertakwa daripada usianya yang berbaki seperti kata Abu al-‘Aliyah dan Ibrahim.

Al-Alusi berkata: Pada segala urusanmu yang berkaitan dengan keazaman untuk kamu susun dan atur mengikut perjalanan mereka yang berkemenangan dengan segala hukum yang tersebut atau hendaklah kamu mengawasi daripada berlaku kecacatan dengan apa yang disebut berkenaan dengan urusan haji.

Sayid Qutub berkata: Demikianlah kita dapati di dalam ayat-ayat ini bagaimana al-Quran menjadikan haji sebagai satu ibadat Islam yang wajib, dan bagaimana ia mencabut darinya segla akar umbi jahiliah dan mengikatkannya dengan tali ikatan Islam dan menambatkannya pada tiang paksi Islam serta menaunginya dengan kefahaman-kefahaman dan kepercayaan-kepercayaan Islam dan membersihkannya daripada segala noda dan kelodak jahiliah.

Inilah cara yang dilakukan oleh Islam dalam mana-mana adat dan upacara ibadat yang mahu dikekalkannya. Ia tidak lagi berada dalam bentuk lamanya yang wujud di zaman jahiliah, malah ia kembali dalam bentuk yang baru sesuai dengan pakaiannya yang baru. Ia bukan lagi merupakan satu tradisi orang arab, malah ia kembali menjadi ibadat Islamiah. Hanya Islam sahaja yang kekal dan terpelihara.

Firman Allah s.w.t: Dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya. Ini kerana balasan yang akan dikenakan atas segala amalanmu selepas dihidupkan dan dibangkitkan. Ayat ini ditutup supaya manusia beriman seterusnya melakukan amalan yang soleh yang boleh melazimi sifat ketaqwaan kerana yakin kepada hari balasan.

Hal ini menunjukkan bahawa segala tindakan manusia akan dikira di hadapan Allah pada hari yang tidak boleh memberi manfaat oleh harta benda dan anak pinak kecuali yang datang mengadap Allah dengan hati yang sejahtera dan juga amalan yang soleh. Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang beriman dengan segala rukun iman dan beramal dengan amalan yang soleh.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Kelebihan zikrullah.

*Rukhsah dalam melakukan ibadat haji.

*Sifat takwa merupakan tuntutan untuk kebahagiaan.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Utusan Malaysia : 2 Mei 2007



Salam Pengenalan

Assalamualaikum, Salam Pengenalan.
Saya rasa terpanggil untuk terlibat sama dalam memberi sumbangan idea untuk pembangunan masyarakat dan negara. Insya Allah di masa-masa akan datang saya akan cuba pengupas isu-isu semasa di dalam dan luar negara hal-hal agama, politik, sosial, ekonomi dan lain-lain lagi. Dalam masa yang sama saya sedia membuka ruang untuk pembaca turut sama memberi komen dan respons.
Banyak isu-isu semasa yang berligar sama ada dalam mahu pun luar negara yang tertinggal untuk di kongsi bersama. Sama ada umum merasakan ia suatu benda yang remeh ataupun ia tidak diketahui. Sekian dulu untuk permulaan, wassalam.