Khamis, 3 Mei 2007

NUJ Mahu Kerajaan Iktiraf Blog Sebagai Media Baru

02 Mei, 2007 21:40 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mahu kerajaan mengiktiraf kewujudan laporan dalam internet dan blog sebagai media baru bagi menyebarkan maklumat.

Presiden NUJ Norila Mohd Daud berkata fenomena mendapatkan maklumat menerusi internet memberi kesan yang amat besar dan ini menjadi sumber maklumat alternatif isu-isu semasa yang menyentuh masyarakat di negara ini.

"Penggunaan internet dan konsep dunia tanpa sempadan yang tidak ditapis telah menjadikan maklumat lebih mudah diperoleh oleh sesiapa jua. Demikian halnya, apa jua penyalahgunaan oleh penjawat awam boleh didedahkan segera dalam internet" katanya dalam satu kenyataan di sini, sempena Hari Kebebasan Akhbar Antarabangsa yang akan disambut esok.

Beliau berkata ini selaras dengan misi kerajaan yang mahu memastikan akauntabiliti dan ketelusan serta meningkatkan sistem penyampaian yang lebih baik.

Pada masa yang sama, Norila berkata perkembangan saluran media baru ini telah mempengaruhi media arus perdana dan mengubah dunia kewartawanan pada masa kini.

"Melihat kepada perkembangan terkini, NUJ berpendapat kerajaan harus memberikan lebih kebebasan kepada akhbar tempatan dengan meminda beberapa undang-undang yang menyekat seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya.

NUJ berpendapat bahawa penggubalan Akta Kebebasan Maklumat akan dapat meningkatkan penyaluran maklumat antara jabatan kerajaan, media dan orang ramai, kata Norila.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: