Isnin, 28 Mei 2007

Kematangan PAS dan ahli-ahli PAS

Tahniah kepada PKR yang telah berjaya mengadakan Kongresnya dengan lancar dan kemuafakatan yang tinggi. Walaupun banyak media dan pihak cuba mengapi-apikan pemilihan barisan kepimpinan yang berlaku dalam mesyuarat tersebut. Namun mereka gagal.

Kini giliran PAS pula yang akan bermuktamar. PAS mengambil sikap untuk meneruskan pemilihan walaupun parti-parti kerajaan yang kononnya kuat menangguhkan pemilihan kerana menumpukan kepada pilihanraya yang hampir tiba. Kematangan ahli-ahli PAS menyebabkan PAS tetap meneruskan pemilihan kepimpinannya. Ini satu tamparan kepada parti kerajaan yang menampakkan mereka adalah lemah dan rapuh.

Muktamar PAS yang akan berlangsung di PUTIK, Kelantan tahun ini dikatakan agak panas. Pertama, isu-isu pilihanraya, persiapan jenteranya, calon-calon, mempertahankan kelantan, merampas kembali terengganu dan lain-lain lagi. Kedua, pemilihan kepimpinan baru, AJK Pusat, Pemuda dan Muslimat, tidak terkecuali Dewan Ulama.

Pemilihan Kepimpinan yang menjadi bualan hangat kini ialah kerusi panas Timbalan Presiden. Penyandang sekarang, Ust Nasaruddin Mat Isa menerima cabaran daripada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Hj Harun Taib. Jika ini benar-benar berlaku ibarat pertandingan antara seorang murid dengan gurunya sendiri. Pertandingan ini berlaku keran pencalonan daripada kawasan-kawasan. Bagi saya, ini sebenarnya satu mesej besar daripada kawasan-kawasan dan dewan ulama kepada organisasi parti dan perwakilan serta peranan jawatan timbalan presiden.

Ust Nasharudin yang memegang jawatan Timbalan Presiden sekarang cukup dikenali oleh semua warga PAS, kerana sebelum itu pun beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agong dan AJK Pemuda Pusat. Beliau antara penceramah yang berwibawa kerana kepetahan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa. Malah Beliau kelihatan agak disenangi oleh orang ramai dan mendapat tempat di media, mungkin beliau bersikap lebih terbuka dan mudah.

Ini mungkin berbeza dengan Ust Harun Taib yang terkenal dengan ketegasan khususnya perkara yang berkaitan dengan dasar dan keputusan parti. Jasa Beliau kepada parti adalah suatu yang sukar dilupakan. Beliau tidak pernah memegang jawatan di dalam Dewan Pemuda kerana terus menjadi setiausaha perhubungan PAS Terengganu sewaktu usia kepemudaannya. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu dan menjadi tulang belakang kepada Lajnah Tarbiyah PAS Pusat di samping penyandang Ketua Dewan Ulama PAS Pusat sejak awal 90-an. Bagi orang yang pernah melalui pentarbiyahan PAS hampir mustahil mereka tidak mengenali Ust Harun Taib, malah saya yakin Ust Nasha pun antara anak didik Ust Harun Taib.

Lantaran itu, saya berkeyakinan keputusan yang dibuat oleh Ust Harun Taib untuk bertanding juga bukan mudah berdasarkan peribadi beliau dan track record perkhidmatan beliau. Walaupun penyandang sekarang adalah Ust Nasharuddin Mat Isa, tetapi melihat kepada kesungguhan kawasan, dewan ulama dan Ust Harun sendiri, saya rasa lebih baik ust Nasharuddin mengundur diri. Bukan tujuan bertandingan untuk mengukur populariti tetapi lebih kepada menjaga halatuju dan perjalanan parti.

Sampai masanya ulama di"profesional"kan dan profesional di"ulama"kan (memimjam kata ust harun muktamar ulama tahun 97) dengan program tarbiyah yang bersungguh, masak dan matang. Ahli PAS mesti berbangga dengan dasar Islam yang dibawa, tidak perlu rasa malu dan ragu-ragu. Kemenangan adalah kurniaan Allah. Kewajipan adalah bekerja dan bekerja dan bekerja menyampaikan mesej Islam. Halangan dan cabaran adalah suatu sunnah perjuangan. Islam itu Indah.

Tiada ulasan: